Begitu banyak persoalan yang diutarakan oleh para wanita yang bekerja di luar rumah, seperti bagaimana hendak mengatur waktu antara tuntutan kerja dan tanggungjawab mengurus rumah tangga agar dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Dalam mengatasi pertembungan konflik tugas, tidak dinafikan ramai juga wanita hari ini mampu menikmati ‘peranan berganda’ itu dengan jayanya. Namun, ada juga yang merasa sukar hingga akhirnya timbul persoalanpersoalan rumit yang semakin berkembang dalam kehidupan sehari-hari. Justeru kaum hawa hari ini perlu bijak menjalankan tanggungjawab kerana status sebagai isteri dan ibu tidak memungkinkan anda mengelak daripada melakukan tugas di rumah.
Ikuti tip berguna untuk membantu anda melakukan tanggungjawab urus rumah tangga dengan lebih mudah dan efektif.
Mengemas Rumah
Ikut arah jam
Sekiranya anda ingin mulakan mengemas di sesuatu kawasan, pastikan anda mengemas mengikut arah jam. Sebaiknya anda mula mengemas di bahagian dapur dahulu kemudian barulah di ruangan lain. Tetapkan titik permulaan dan ikutlah arah putaran jam. Cara ini akan lebih sistematik dan mempercepatkan proses anda untuk mengemas rumah.
Dari atas ke bawah
Untuk mempercepatkan lagi proses anda mengemas rumah, anda dinasihatkan untuk bermula mengemas dari bahagian atas kemudian ke bawah. Ini untuk mengelakkan anda membuat kerja yang sama berulang kali. Bayangkan sekiranya anda bermula mengemas dari bahagian bawah, apabila tiba masa untuk mengemas bahagian atas pasti kotoran yang anda kemas tadi akan terjatuh. Ini akan menambahkan lagi kerja anda.
Kurang bergerak
Contoh paling jelas untuk mengurangkan gerakan ialah ketika mencuci pinggan. Ada baiknya letakkan rak untuk menggeringkan pinggan mangkuk yang telah dicuci berdekatan dengan singki. Atau jika ruang dapur berkeluasan terhad, anda perlu mencuci pinggan mangkuk dan sediakan satu bekas untuk mudah anda mengumpulkan pinggan tersebut. Apabila bekas sudah penuh barulah anda mengangkat bekas tersebut dan sekali gus mengurus pinggan mangkuk untuk disimpan di dalam kabinet.
Gunakan bantuan mesin
Masa kini begitu banyak mesin atau gajet yang ada ditawarkan di pasaran. Seharusnya penggunaan mesin atau gajet dalam tugas membersihkan rumah harus digunakan sepenuhnya untuk membantu meringankan dan mempercepatkan tugasan di rumah. Contohnya penggunaan penyedut hampagas, penggunaannya lebih mudah untuk membersihkan habuk berbanding jika anda menggunakan cara tradisi menggunakan penyapu.
Memasak
Beli perencah segera
Memasak dengan menggunakan sediaan perencah dapat memudahkan anda memasak dan menjimatkan masa. Kini, terdapat begitu banyak bahan perencah ditawarkan di pasaran seperti perencah nasi goreng, perencah ayam masak merah dan banyak lagi hinggalah perencah rendang sekali pun. Semua tersedia untuk anda memilih dan nikmatinya.
Sediaan bahan resipi lebih awal
Jika ingin menggunakan ramuan sendiri, ia juga tidak menghalang untuk anda memasak dengan cepat dan mudah. Cuma persediaan bahan perlulah dilakukan lebih awal dan bukannya ketika ingin memasak. Contohnya, menyediakan hirisan bawang atau ramuan di malam hari dan disimpan di dalam peti sejuk. Apabila hendak memasak di pagi harinya, anda boleh terus menggunakan bahan tersebut.
‘Slow Cooker’- satu pelaburan yang bermanfaat
Ramai wanita hari ini memasak menggunakan ‘slow cooker’ dan menjadikannya satu alat memasak yang penting dan utama. Anda hanya perlukan 10-15 minit di waktu pagi untuk memasukkan bahan-bahan di dalam ‘slow cooker’ anda, hidupkan dan biarkan sahaja seharian untuk dimasak. Pulang ke rumah, makanan yang panas telah tersedia.
PRAKTIS 5S DI RUMAH
1. SEIRI – SISIH
Cuba lihat di sekeliling rumah yang penuh dengan pelbagai barangan. Asingkan yang mana masih boleh digunakan dan yang rosak buangkan sahaja.
2. SEITON – SUSUN
Susun perabot dan aksesori yang ada secara kemas dan teratur. Kaedah ini juga akan dapat mengelakkan rumah kelihatan semak dan sesak.
3. SEISO – SAPU
Lakukan pembersihan atau menyapu lantai setiap hari. Jangan tunggu hujung minggu untuk melakukannya.
4. SEIKETSU – SERAGAM
Walaupun ruang kediaman asalnya berkeadaan bersih dan kemas, ia pasti akan menjadi berselerak apabila digunakan. Oleh itu, anda perlu mengulangi seiri, seiton dan seiso untuk memastikan keadaan kediaman sentiasa bersih dan kemas.
5. SHITSUKE – SENTIASA AMAL
Amalkan sistem 5S secara berterusan hingga menjadi budaya di dalam rumah. Untuk itu anda perlu mendisiplinkan ahli keluarga yang lain.