Laman Utama

Khamis, 26 Julai 2012

Mutiara Harta - 1

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, berikanlah sebahagian daripada rezeki yang telah dikurniakan kepadamu (untuk ke jalan Allah), sebelum datangnya suatu hari yang sudah tiada sebarang urusan perniagaan, tiada juga sebarang persahabatan dan tiada lagi sebarang bantuan. Sesungguhnya mereka yang ingkar itulah mereka yang zalim”. Al Baqarah : 254

HURAIAN

Sedekah bukan sekadar memberi. Amalan bersedekah mempunyai banyak manfaat yang perlu kita ketahui. Manfaat sedekah bukan hanya dirasakan oleh para penerimanya, malahan ianya akan turut serta merta dirasakan oleh pengamalnya.

Amalan bersedekah adalah sangat digalakkan oleh Islam kerana terlalu banyak manfaat yang bakal diraih, di antaranya ialah harta akan menjadi berkat dan semakin bertambah.

Dari Abu Hurairah R.A. berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Tidak akan pernah berkurang harta yang disedekahkan kecuali ia bertambah...bertambah...dan terus bertambah...” Hadis Riwayat Al Tirmidzi

Firman Allah S.W.T. lagi: "Sesiapa sahaja yang meminjamkan hartanya kepada Allah (bersedekah) untuk mendapatkan yang terbaik, pasti Allah akan melipatgandakan anugerah-Nya, dan pastinya dia akan memperolehi pahala yang mulia.” Al Hadid : 11

Dalam surah al-Baqarah, ayat 245, Allah S.W.T. berfirman: "Janganlah kamu bimbang menjadi miskin hanya kerana membelanjakan harta kepada Allah (bersedekah)”

Inilah rahsianya bagaimana harta yang disedekahkan tidak akan pernah berkurang, malahan ianya akan semakin bertambah, meski pun pada zahirnya harta tersebut kelihatan semakin berkurang dari sudut materialnya, namun demikian, dalam masa yang sama seiring dengan waktu yang berlalu, hartanya akan semakin bertambah, terutama sekali dari sudut keberkatannya. Sebagaimana seseorang yang menanam padi dengan mengambil sebutir sahaja daripada segenggam padi yang dimilikinya, maka sebutir benih tadi akan terus tumbuh dan membuahkan lebih banyak butiran padi untuknya.

Tiada ulasan: