Laman Utama

Jumaat, 27 Julai 2012

SEDEKAH PENGHINDAR BALA

Rasulullah S.A.W berwasiat kepada Ali bin Abi Thalib “Wahai Ali, sedekah itu dapat menolak takdir mubram. Wahai Ali, tiada kebaikan dalam ucapan kecuali apabila diamalkan, dan tiada kebaikan dalam bersedekah kecuali apabila diikhlaskan (kerana Allah)”. (Al-Wasail 6: 267, hadis ke 4)
 
Rasulullah S.A.W. juga pernah bersabda bahawa: “Amalan sedekah kalian akan menghindarkan 70 kecelakaan”. Riwayat al Tabrani
 
HURAIAN

Secara literal, al-bala’ atau bala bermakna al-ikhtibar (ujian). Istilah bala’ sendiri digunakan untuk menggambarkan ujian yang menyukarkan, sama ada ianya boleh mendatangkan kebaikan, mahupun yang diikuti dengan keperitan. Imam ar-Razi, Mukhtâr al-Shihâh, hal. 65.
 
Dalam kitab al-Tibyân fi Tafsîr Gharîb al-Qur’an dinyatakan, bahawa bala’ itu memiliki tiga bentuk; sama ada kegembiraan (ni’mah), halangan (khibrah) dan sesuatu yang tidak diinginkan (karahah). Syihâb al-Dîn Ahmad, al-Tibyân fi Tafsîr Gharîb al-Qur’an, juz 1, hal. 85.
 
Sedekah adalah penolak bala, pendarab pahala, dan penyubur laba. Semua kita tentu pernah atau sedang mengalami masalah, walau apapun bentuknya. Demikianlah hakikat kehidupan di dunia, dewan ujian kita, apakah benar kita adalah hamba-Nya yang bertaqwa atau sebaliknya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dia yang menciptakan kematian dan kehidupan sebagai ujian yang akan memutuskan siapakah dalam kalangan kalian  yang paling baik amalan”. Al Mulk ayat 2
 
Marilah kita menghindarkan diri kita dan keluarga daripada bala, dengan bergegas dalam bersedekah. Tukarkan dan jualkan segala kesulitan hidup kita dengan berurusniaga bersama Allah S.W.T. melalui amalan bersedekah, kerana sesungguhnya, Dia pasti Membelinya dengan harga yang paling tinggi dan menjanjikan keuntungan yang amat lumayan untuk kita.
 
Bersedekahlah dengan harta terbaik dan perasaan terindah yang pernah dimiliki. Masihkah perlu bertangguh? Janganlah menunggu hari esok. Lakukannya segera, sekarang juga!.

Tiada ulasan: